FAQ

P & I Insurans

PENCERAHAN BERKENAAN PERLINDUNGAN INSURANS ATAU TAKAFUL KE ATAS KAPAL-KAPAL MALAYSIA DAN ASING YANG BEROPERASI DI DALAM DAN DI LUAR PERAIRAN MALAYSIA

PANDUAN KEPADA:

a)    (i) Penanggung insurans (syarikat insurans) berlesen atau pengendali takaful (syarikat takaful) berlesen yang menjalankan perniagaan insurans atau takaful am di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) bagi kapal/bot di bawah 300 GT yang beroperasi secara eksklusif di dalam perairan Semenanjung Malaysia, Labuan dan/atau Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia; dan

       (ii) Orang yang diberi pengecualian di bawah APK atau APKI bagi maksud menjalankan perniagaan insurans atau takaful berkenaan insurans atau takaful perlindungan dan indemniti bagi kapal termasuk kapal Malaysia tertakluk kepada tempoh dan syarat yang ditentukan dalam perintah pengecualian yang berkenaan;

b)   Syarikat/anggota/koresponden/broker kumpulan syarikat P&I Club di bawah International Group (IG) dan Non International Group (NON I.G) yang diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia; dan

c)    Pemilik kapal-kapal Malaysia dan asing yang beroperasi di dalam dan di luar perairan Malaysia

 

BIL SOALAN JAWAPAN
1 (i) Adakah syarikat insurans atau takaful DALAM NEGARA DAN LUAR NEGARA yang tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI boleh menjalankan perniagaan insurans atau takaful di Malaysia? Tidak. Mana-mana orang, termasuklah suatu syarikat insurans atau takaful yang tidak dilesenkan oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 10(4) APK atau APKI tidak boleh menjalankan perniagaan insurans atau takaful di Malaysia melainkan diberi pengecualian oleh Menteri Kewangan di bawah Seksyen 263 APK atau Seksyen 274 APKI. Seseorang yang didapati menjalankan perniagaan insurans atau takaful di Malaysia tanpa lesen dan tidak diberikan pengecualian di bawah APK atau APKI, melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 8(1)(a) APK atau APKI, mengikut mana yang berkenaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas orang tersebut.

Setakat ini di bawah seksyen 263 APK, Menteri Kewangan telah mengeluarkan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2019 (P.U.(A) 224/2019) dan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2020 (P.U.(A) 219/2020) yang mengecualikan syarikat insurans tertentu yang tidak dilesenkan di bawah APK bagi menjalankan perniagaan insurans perlindungan dan indemniti (insurans P&I) di Malaysia tertakluk kepada tempoh dan syarat yang dinyatakan dalam perintah pengecualian tersebut.
 
(ii) Adakah syarikat pembrokeran DALAM NEGARA DAN LUAR NEGARA yang tidak mempunyai kelulusan di bawah APK atau APKI boleh menjalankan perniagaan pembrokeran insurans atau takaful di Malaysia? Tidak. Mana-mana orang termasuklah suatu syarikat pembrokeran insurans atau takaful yang tidak diluluskan oleh BNM di bawah seksyen 11(2)(a) atau 15(1)(b) APK atau seksyen 11(2)(a) APKI tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaan pembrokeran insurans atau takaful melainkan diberi pengecualian oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 263 APK atau seksyen 274 APKI. Seseorang yang didapati menjalankan perniagaan pembrokeran insurans atau takaful tanpa kelulusan dan tidak diberikan pengecualian di bawah APK atau APKI, melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 8(1)(b) atau 15(9) APK atau seksyen 8(1)(b) APKI, mengikut mana yang berkenaan dan BNM boleh mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas orang tersebut.
 
2 Adakah syarikat insurans atau syarikat takaful berlesen yang telah dilesenkan atau syarikat pembrokeran insurans atau takaful yang diluluskan di bawah APK atau APKI perlu mendapatkan pengecualian di bawah Seksyen 263 APK atau Seksyen 274 APKI?
 
Tidak. Syarikat insurans atau takaful berlesen serta syarikat pembrokeran insurans atau takaful yang mempunyai kelulusan di bawah APK atau APKI bebas menjalankan perniagaan yang berkenaan dan tidak perlu mendapatkan pengecualian di bawah seksyen 263 APK atau seksyen 274 APKI.
3 Dimanakah senarai nama syarikat insurans atau takaful yang dilesenkan serta syarikat broker insurans atau takaful yang diluluskan di bawah APK dan APKI boleh diperolehi?

Senarai nama syarikat insurans atau takaful yang dilesenkan serta syarikat broker insurans atau takaful yang diluluskan di bawah APK dan APKI disiarkan di laman sesawang BNM dan boleh dirujuk di pautan berikut:-

Selain itu, BNM juga menyiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan suatu senarai semua orang berlesen termasuk syarikat insurans dan takaful berlesen dan apa-apa tambahan atau pemotongan daripada senarai itu dari masa ke semasa menurut seksyen 27(1) APK dan 24(1) APKI.
 
4 Adakah terdapat sebarang larangan bagi pemilik kapal Malaysia yang ingin mendapatkan perlindungan insurans atau takaful daripada syarikat insurans atau takaful yang tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI?

Ya. Mana-mana orang, termasuk pemilik kapal Malaysia, yang ingin memperolehi insurans/takaful am berkenaan dengan harta atau liabiliti daripada syarikat insurans atau takaful yang tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI perlu mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM menurut seksyen 127 APK atau seksyen 139 APKI mengikut mana yang berkenaan:

  1. harta alih atau harta tidak alih yang terletak di Malaysia;
  2. kapal atau kapal terbang yang berdaftar di Malaysia; atau
  3. liabiliti seseorang pemastautin di Malaysia kepada pihak ketiga.
Keperluan tersebut mesti dibaca bersama dengan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Kontrak Insurans Am Untuk Harta Atau Liabiliti) 2013 (P.U.(A) 205/2013) dan Perintah Perkhidmatan Kewangan Islam (Kontrak Takaful Am Untuk Harta Atau Liabiliti Am) 2013 (P.U.(A) 211/2013).
 
5 Adakah mana-mana syarikat insurans dan takaful berlesen di DALAM MALAYSIA DAN mana-mana orang dari LUAR MALAYSIA yang hendak menawarkan perkhidmatan insurans perkapalan di Malaysia perlu menjalankan perniagaan insurans melalui usahasama dengan Perlindungan dan Indemniti Malaysia Sdn. Bhd? Tidak. Mana-mana syarikat insurans atau takaful berlesen di bawah APK atau APKI boleh menawarkan insurans atau takaful di Malaysia tanpa perlu melalui usaha sama dengan Perlindungan dan Indemniti Malaysia Sdn. Bhd.

Namun begitu, bagi syarikat tidak berlesen di bawah APK yang telah diberi pengecualian di bawah Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2019 (P.U.(A) 224/2019) dan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2020 (P.U.(A) 219/2020) tertakluk kepada tempoh dan syarat yang dinyatakan dalam perintah pengecualian tersebut, antara lain, syarikat berkenaan hanya dibenarkan menawarkan insurans P&I di Malaysia melalui usaha sama dengan Perlindungan dan Indemniti Malaysia Sdn. Bhd.
 
6 Adakah syarikat yang mendapat pengecualian di bawah Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2019 (P.U.(A) 224/2019) dan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2020 (P.U.(A) 219/2020) perlu mendapat kelulusan bertulis BNM terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan insurans P&I di Malaysia?
 
Tidak, syarikat yang telah mendapat pengecualian di bawah Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2019 (P.U.(A) 224/2019) dan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Pengecualian) 2020 (P.U.(A) 219/2020) tidak memerlukan kelulusan bertulis BNM terlebih dahulu bagi menjalankan perniagaan insurans P&I di Malaysia melalui usahasama dengan Perlindungan dan Indemniti Sdn. Bhd. bagi tempoh dan tertakluk kepada syarat yang dinyatakan dalam perintah pengecualian tersebut.
7 Adakah pemilik kapal layar warga asing (sama ada individu yang bukan pemastautin di Malaysia atau syarikat yang diperbadankan di luar Malaysia) boleh memperoleh perlindungan insurans atau takaful harta atau liabiliti dari syarikat insurans atau takaful luar negara? Pemilik kapal layar warga asing (iaitu individu yang bukan pemastautin di Malaysia atau syarikat yang diperbadankan di luar Malaysia) boleh memperoleh insurans atau takaful liabiliti dari syarikat insurans atau takaful tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI. Ini kerana mereka tidak tertakluk kepada seksyen 127 APK atau seksyen 139 APKI yang melarang pemerolehan perlindungan insurans atau takaful harta atau liabiliti dari syarikat insurans atau takaful yang tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI.
 

Namun begitu, bagi insurans atau takaful harta, hanya pemilik kapal layar bagi kapal yang tidak didaftarkan di Malaysia boleh memperoleh insurans atau takaful harta dari syarikat insurans atau takaful tidak dilesenkan di bawah APK atau APKI dan mereka tidak tertakluk kepada seksyen 127 APK atau seksyen 139 APKI.

Seksyen 127 APK atau seksyen 139 APKI merupakan peruntukan yang terpakai kepada seseorang pemastautin di Malaysia1 , dan ini adalah termasuk seseorang yang mempunyai kehadiran fizikal sebagai penduduk di Malaysia ataupun syarikat yang melaksanakan atau berdaftar untuk melaksanakan sebarang aktiviti perniagaan di Malaysia. Sila rujuk kepada jawapan soalan 4 bagi definisi “harta” atau “liabiliti” dalam konteks seksyen 127 APK atau seksyen 139 APKI.

8 Sekiranya saya hendak membuat aduan mengenai salah laku syarikat insurans atau takaful berlesen atau seseorang yang diberi pengecualian untuk menjalankan perniagaan insurans atau takaful di bawah APK dan APKI, kepada siapa aduan harus ditujukan?
 
Bagi sebarang aduan mengenai salah laku syarikat insurans atau takaful berlesen atau seseorang yang diberi pengecualian untuk menjalankan perniagaan insurans atau takaful di bawah APK atau APKI, sila ajukan aduan anda kepada Bank Negara Malaysia, di talian 1-300-88-5465 atau e-mel ke bnmtelelink@bnm.gov.my.
9 Adakah syarikat insurans atau takaful berlesen di bawah APK atau APKI boleh menawarkan polisi insurans dengan tempoh perlindungan kurang dari 12 bulan?
 

Sebagai contoh di Pantai Timur ketika musim monsun bot-bot tidak dapat beroperasi. Pemilik bot memerlukan tempoh perlindungan polisi insurans hanya untuk 6 atau 8 bulan sahaja.

Tempoh perlindungan insurans atau takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans atau takaful berlesen adalah bergantung kepada persetujuan antara syarikat insurans atau takaful dengan pembeli insurans. Pemilik bot boleh berunding dengan syarikat insurans atau takaful masing-masing mengenai tempoh perlindungan insurans atau takaful yang diperlukan.

Disediakan Oleh:

Urusetia: Jawatankuasa Penyelarasan & Pengiktirafan Syarikat Perlindungan Insurans P&I Di Malaysia
Dikemaskini pada: 24 Februari 2021