KOTA KINABALU, 22 September 2024 – Majlis Perasmian Temasya Sukan JLM telah disempurnakan oleh YBrs. Kapten Abdul Samad Shaik Osman, Timbalan Ketua Pengarah Laut (Operasi) pada 20 September 2024 (Jumaat) bertempat di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Temasya Sukan JLM Kali Ke-10 yang berlangsung pada 19-22 September 2024 ini telah disertai oleh hampir 800 orang atlet terdiri daripada lapan kontinjen masing-masing daripada Ibu Pejabat Laut Malaysia, JLM Wilayah Sabah, JLM Wilayah Sarawak, JLM Wilayah Persekutuan Labuan, JLM Wilayah Utara, JLM Wilayah Timur, JLM Wilayah Selatan dan JLM Wilayah Tengah.
Temasya Sukan JLM yang diadakan dwi-tahunan ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan disamping mengeratkan hubungan sillaturrahim dikalangan warga JLM.
Terdapat 22 acara pelbagai kategori yang dipertandingkan sepanjang Temasya Sukan JLM ini berlangsung antaranya ialah Golf, Memanah, Ping Pong, Snooker, Pool, Boling, Bola Tampar, Renang, Badminton, Olaharaga, Acara Padang, E-Sport, Dart, Karom, Bola Jaring, Sepak Takraw, Petanque dan Bola Sepak yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nexus Golf Resort Karambunai, Dewan Hakka Likas, Cupid Champion Penampang, Strike Bowl Sutra Harbour, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah & Arena Sukan Likas.
Secara keseluruhannya, kontinjen JLM Wilayah Sabah sekali lagi telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Temasya Sukan JLM Kali Ke-10 ini dengan 17 Emas, 10 Perak dan 8 Gangsa diikuti dengan Kontinjen Ibu Pejabat Laut Malaysia dengan 9 Emas, 14 Perak dan 12 Gangsa. Turut diberi penganugerahan kepada Tuan Mohd Sharul bin Mat Ripin daripada JLM Wilayah Utara sebagai Olahrawagan dan Puan Rapija Binti Usul daripada JLM Wilayah Sabah sebagai Olahragawati.
Majlis Penutupan Temasya Sukan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Kali Ke-10 telah disempurnakan oleh Tn. Norjipin Bin Saidi, Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti Alam Sekitar (BKSAS) yang mewakili YBrs. Kapten Abdul Samad Shaik Osman, Timbalan Ketua Pengarah Laut (Operasi) bertempat di Ball Room Sipadan 1, Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu Sabah.
Temasya Sukan JLM Kali Ke-11 pada Tahun 2026 akan menyaksikan JLM Wilayah Selatan sebagai tuan rumah. JLM Wilayah Sabah selaku Tuan Rumah Temasya Sukan JLM kali ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kontinjen Ibu Pejabat Laut dan wilayah.
#SaferShipsSecurePortsClenearSeas #MalaysiaMadani #SabahOnsoii