JABATAN LAUT SEMENANJUNG MALAYSIA
NOTIS PERKAPALAN SAUDAGAR
Nombor Notis : JL 1/1997


Notis kepada Pemilik, pengusaha, Nahkoda, Pelaut dan semua pihak yang berkaitan.


PEMBERITAHUAN MENGENAI PENGUATKUASAAN KOD PENGURUSAN KESELAMATAN ANTARABANGSA (INTERNATIONAL SAFETY MANAGEMENT CODE) DAN PROSEDUR PERMOHONAN

Merujuk kepada perkara tersebut diatas, adalah dengan ini pihak Jabatan memberi peringatan bahawa tarikh penguatkuasaan Kod Pengurusan Keselamatan Antarabangsa telah ditetapkan oleh Organisasi Maritim Antarabangsa (International Maritime Organisation) sebagai 1hb Julai 1998 keatas semua kapal dari jenis tangki, pukal dan penumpang.

2. Memandangkan bahawa tarikh penguatkuasaan berkenaan semakin hampir, pihak yang berkenaan adalah disarankan untuk menggambil langkah-langkah perlu bagi mempastikan bahawa syarikat perkapalan atau syarikat pengurusan memiliki Dokumen Kepatuhan (Document of Compliance) dan kapal-kapal dibawah pengurusan syarikat berkenaan mempunyai Sijil Pengurusan Keselamatan (Safety Management Certificate). Pihak yang berkenaan juga adalah diingatkan untuk memohon pengoditan sistem didalam masa yang sesuai untuk mengelakkan masalah kekurangan juru odit sistem pada saat-saat akhir sebelum tarikh penguatkuasaan. Tiada layanan khas akan diberi kepada syarikat yang lewat atau yang tidak dapat mengemukakan dokumen yang diperlukan pada tarikh penguatkuasaan.

3. Untuk makluman juga, pengoditan dan pengeluaran Dokumen Kepatuhan bagi syarikat perkapalan akan dibuat oleh pihak Jabatan sementara pengoditan dan pengeluaran Sijil Pengurusan Keselamatan bagi kapal-kapal akan dibuat oleh Badan Kelasifikasi yang diiktiraf. Prosedur permohonan dan pengoditan bagi mendapatkan Dokumen Kepatuhan adalah seperti didalam Lampiran 1. .

4. Segala pertanyaan bagi maksud tersebut diatas bolehlah dimajukan kepada Jabatan seperti alamat dibawah.



Sekian



(ABDUL JAMIL BIN MURSHID)
b.p. Ketua Pengarah Laut,
Semenanjung Malaysia.

Ibu Pejabat Laut Semenanjung Malaysia,
Peti Surat 12,
42007 PELABUHAN KLANG
MALAYSIA

Tarikh : 15 Februari 1997